Tragedi Gempa Gunung Kinabalu 2015...
![]() |
Gunung Kinabalu 22 Disember 2014 |
Pada tanggal 5 Jun 2015, saya tidak berada di Sabah. Saya masih di Semenanjung. Saya langsung tidak tahu bahawa pada pukul 7.15 pagi, gempa bumi telah berlaku di Gunung Kinabalu. Saya hanya tahu apabila mendapat mesej WhatsApp daripada keluarga tentang gegaran kuat yang dirasai hampir di seluruh negeri Sabah. Syukur keluarga saya dalam keadaan selamat.
Sepanjang hari tragedi tersebut (hingga penulisan post ini), saya mengikut setiap perkembangan yang ada. Portal-portal berita, WhatsApp, Facebook, laporan TV, menjadi sumber-sumber utama untuk mendapatkan perkembangan terkini. Yang bermain di fikiran saya hanya tentang keselamatan mereka yang terlibat.
Dua dunia berbeza
Kebetulan pada hari yang sama, isu forum 1MDB juga mendapat perhatian kerana Perdana Menteri Malaysia yang sepatutnya hadir membatalkan kehadirannya pada saat-saat akhir. Dan ketika itu, seolah-olah wujud dua dunia berlainan apabila media-media sosial (twitter, FB) memaparkan dua berita tergempar yang berlainan. Ketika itu isu forum 1MDB lebih hangat. Mungkin kerana situasi gempa yang terjadi di Sabah belum diketahui betapa serius keadaannya yang sebenar. Masih tidak diketahui sama ada terdapat sebarang kemalangan jiwa, kecederaan. Malah, portal-portal berita melaporkan gempa tersebut seperti sesuatu yang tidak terlalu besar atau serius.
Hanya apabila tahap kerosakkan dan panggilan kecemasan diterima, barulah disedari betapa seriusnya gempa yang telah terjadi.
Tiga fahaman berbeza
Pelbagai andaian timbul dalam cubaan menjelaskan sebab dan punca mengapa gempa ini terjadi.
Yang satu menyalahkan tindakan beberapa orang pelancong asing yang berbogel serta kencing di atas puncak Gunung Kinabalu sehingga menyebabkan "roh" gunung menjadi marah.
- Tanpa disedari, seperti mereka mengatakan "roh" gunung ini membunuh orang lain atas kesalahan yang dilakukan oleh orang lain.
Yang satu menyatakan ia hanya kejadian alam yang biasa terjadi, cuma kali ini terjadi secara luar biasa di Gunung Kinabalu.
- Tanpa disedari, kenyataan ini diberikan tanpa sebarang rasa empati.
Yang satu menyatakan ia adalah amaran daripada Tuhan kepada manusia dan mengaitkannya dengan agama masing-masing.
- Tanpa disedari, mereka seperti melihat diri adalah "tuhan" atau mempunyai "pengetahuan istimewa" yang hanya diketahui oleh mereka sendiri.
Maka, timbullah perselisihan fahaman yang hangat di dalam media-media sosial. Masing-masing mengatakan fahaman merekalah yang benar.
Satu hal yang pasti, tragedi ini telah pun terjadi. Yang terkorban sudah terkorban. Bercakaran kerana hal ini tidak akan membuahkan apa-apa. Sedangkan mereka yang terlibat sangat-sangat memerlukan penghiburan.
Empat kekesalan yang terjadi
Di saat Sabah bersedih dengan tragedi ini, terdapat individu-individu yang tidak sensitif, mengeluarkan kata-kata kesat, hinaan, kejian, kepada negeri Sabah. Post-post mereka di FB seolah-olah menunjukkan mereka tidak mempunyai sebarang belas kasihan dan simpati.
Di saat Sabah bersedih, Perdana Menteri Malaysia seperti acuh tak acuh dengan apa yang terjadi. Beliau sempat menghadiri majlis perkahwinan dan melawat ke Arab Saudi tetapi tidak dapat menjenguk-jenguk situasi di Sabah? Mahu dikata tiada pengangkutan, bukankah kerajaan telah membeli jet rasmi PM yang baharu? Mahu dikata tiada masa, mengapa sempat menghadiri majlis perkahwinan?
Bukan mahu menyalahkan pihak yang bertugas (saya percaya mereka juga berusaha), namun, kelewatan mereka dalam misi menyelamat para pendaki yang terkandas sangat dikesali. Malah, keputusan untuk datang hanya pada keesokan hari, dan membiarkan mereka terkandas di atas gunung yang sejuk (suhu boleh mencecah di bawah paras beku) sangat-sangat mendukacitakan (dan sedikit menaikan amarah). Jika bukan kerana para malim gunung yang bertungkus-lumus membawa mereka turun, mungkin lebih ramai yang akan terkorban.
Percakaran di media-media sosial tentang tragedi ini.
Yang pasti...
Tragedi ini akan selama-lamanya mengubah sejarah Gunung Kinabalu. Ia tidak lagi akan sama. Ia bukan lagi dilihat sekadar indah, tetapi juga duka dan lara.
#Sabahquake
Comments
Post a Comment
Sorry anonymous, you cannot comment. ;)
Maaf tanpa nama, anda tidak dapat meninggalkan komen. ;)